Kisah pasukan bola sepak negara pada tahun 1980 yang disulami inspirasi dan semangat juang sehingga melayakkan diri menuju Sukan Olimpik Moscow 1980 diabadikan dalam satu dokumentari khas terbitan Astro.

Buat pertama kali selepas 36 tahun, pemain skuad itu berjaya dikumpul untuk menjayakan dokumentari ini.

Antara yang ditemu ramah termasuk legenda bola sepak tanah air Datuk Soh Chin Aun, Hassan Sani, James Wong, dan Datuk Santokh Singh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata walaupun berlaku 36 tahun lalu, ia masih releven dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi masa akan datang.

"Ini adalah kisah benar yang berlaku 36 tahun lalu, di mana pemain Harimau Malaya 1980 kini dianggap wira. Kita lihat sepanjang perjalanan mereka ke Sukan Olimpik Moscow 1980, mereka belajar erti persahabatan.

"Saya berpeluang berjumpa dengan mereka, dan saya boleh lihat betapa bangganya mereka bermain untuk negara," katanya dalam satu temu bual ekslusif bersama Astro AWANI selepas majlis pelancaran dokumentari Harimau Malaya 1980 ibu pejabat Astro di Bukit Jalil pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Sementara itu, penerbit Harimau Malaya 1980, Basir Siswo berkata, beliau menghabiskan empat bulan untuk melakukan penyelidikan bagi mendapatkan fakta serta menggunakan pemain sebenar untuk menghidupkan dokumentari.

"Dalam dokumentari ini, ada tangisan, ada cerita kelakar, ada kekecewaan, ada kesedihan. Semuanya kisah benar dari orang-orang yang sebenarnya mengharungi kehidupan itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.