PENYANYI dan penulis lagu terkenal, Camila Cabello dipilih sebagai Cinderella dalam edisi terbaharu filem itu yang akan diterbitkan oleh Sony Pictures.

Ia akan menjadi debut filem untuk Cabello dan lebih istimewa, bintang yang terkenal dengan lagu Havana itu juga akan terbabit dalam penerbitan runut bunyi filem tersebut.

Filem berkenaan akan memaparkan versi moden Cinderella, dengan idea asalnya dicetuskan oleh pelakon dan hos televisyen, James Corden.

Kay Cannon yang dikenali sebagai pengarah Pitch Perfect pula dipertanggungjawabkan sebagai pengarah versi reimagined ini.

Portal hiburan antarabangsa melaporkan Sony meletakkan filem ini dalam senarai fast track mereka dan mahu ia diterbitkan secepat mungkin.

Filem Cinderella kali pertama diterbitkan sebagai animasi Disney pada 1950.

Beberapa versi lain pernah diterbitkan selepas itu, antaranya live action pada 1997 yang dibintangi oleh Brandy dan Whitney Houston, dan paling terbaharu pada 2015 dengan Lily James memegang watak utama.