PERCUTIAN pasangan Justin Bieber dan isterinya, Hailey Baldwin di Pantai Laguna, California bertukar menjadi satu misteri selepas bilik penginapan mereka didatangi seorang wanita yang tidak diundang.

Wanita misteri itu yang masih tidak didedahkan identitinya oleh pihak polis, ditangkap selepas didakwa telah menceroboh masuk bilik penyanyi lagu Love Yourself itu.

Sumber mendapati, wanita tersebut telah mengadakan parti dan kelihatan berkeliaran di sekitar premis hotel tersebut dalam keadaan mabuk sehingga tersalah masuk ke bilik Bieber.

Bieber yang sebelum ini pernah bercinta dengan Selena Gomez, dilaporkan mengarah wanita misteri itu untuk pergi dan dia kemudian dikawal oleh pengawal keselamatan peribadinya sendiri.

Penguatkuasa undang-undang kini sedang menyiasat sama ada wanita itu 'dengan sengaja cuba mengakses bilik kerana dia tahu Justin Bieber berada di dalam atau sebaliknya'.

BACA: Justin Bieber umum bersara seketika, mahu jadi bapa yang baik

Hal ini terjadi hanya beberapa hari selepas penyanyi itu mengumumkan bahawa dia telah bersara buat seketika daripada dunia muzik, untuk memberi tumpuan kepada kehidupan keluarganya dan kesihatannya.