SEBUAH band dari Indonesia, Gafarock meraih perhatian ramai apabila menghasilkan sebuah lagu yang diinspirasikan daripada wabak koronavirus yang sedang menjadi kebimbangan ramai sekarang.

Lirik lagu yang berkisar tentang wabak dari Wuhan, China itu ditulis dengan campuran empat bahasa iaitu Sunda, Ngapak, Jawa dan Indonesia.

Antara bait-bait lirik dalam lagu Virus Corona adalah kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya virus itu dan bagaimana ia tersebar ke negara lain.

Lagu Virus Corona itu mengambil melodi asal daripada lagu Jaranan oleh Ki Hadisukatno.

Sehingga kini lagu Virus Corona telah ditonton oleh lebih 2.6 juta pengguna di YouTube sejak dimuat naik pada 1 Februari lalu.

Meneliti ruangan komen di akaun YouTube band terbabit, rata-ratanya menyifatkan karya tersebut kreatif dan memberikan pesanan dengan cara tersendiri.

Koronavirus atau COVID-19 merupakan virus yang dipercayai berasal dari pasar basah di Wuhan yang menjual haiwan eksotik.

Sehingga kini seramai 2,000 mangsa wabak itu telah meninggal dunia.



[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat