Program kesetiaan pelanggan Astro, Astro Rewards dengan kerjasama portal pendidikan ‘Learning Port Interactive’ menawarkan dua bulan akses percuma portal itu yang bernilai lebih RM700.

Menerusi satu kenyataan, Astro berkata tawaran ini adalah sebahagian daripada usaha Astro untuk terus menyediakan kandungan pendidikan kepada pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi kelangsungan aktiviti pembelajaran mereka di rumah.

“Ia turut bertindak sebagai kandungan tambahan kepada pembelajaran akademik 24 jam yang kini tersedia di semua saluran Tutor TV Astro yang juga boleh distrim melalui Astro GO.

“Para pelajar boleh merasai pengalaman pembelajaran baharu dengan lebih 2,300 modul-modul pendidikan merangkumi video animasi, simulasi, makmal maya, permainan dan pelbagai jenis kuiz,” katanya.

Tambahnya, para pelajar juga akan diberikan akses kepada Bank Soalan yang terdiri lebih daripada 40,000 soalan dalam format kertas peperiksaan dan kertas ujian bagi semua topik dari sekolah rendah hinggalah sekolah menengah.

“Setiap kertas soalan dilengkapi dengan panduan penyelesaian langkah demi langkah berserta tips untuk skor dalam peperiksaan.

“Paparan soalan juga terdapat dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan ia berdasarkan sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) terkini dari Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Para pelanggan Astro boleh melayari www.rewards.astro.com.my/details/LPFreeTrial untuk menebus tawaran eksklusif ini bermula sekarang dan bakal berakhir pada 31 Mei 2020.