BAND heavy metal ternama dunia Anthrax bakal menggegarkan peminat dalam kembara ke seluruh dunia tahun depan.

Anthrax dijangka tiba di Malaysia untuk bertemu peminat buat julung kalinya pada 4 April 2020 sempena ulang tahun ke-30 album "Among the Living".

"Among the Living" merupakan album studio ketiga band thrash metal Amerika ini. Ia diterbitkan pada 22 Mac 1987 oleh Megaforce Worldwide/Island dan berjaya meraih anugerah emas daripada RIAA pada 31 Julai 1990.

Dianggotai vokalis Joey Belladonna, pemain bass Frank Bello, pemain dram Charlie Benante, gitaris utama Jonathan Donais dan gitaris irama Scott Ian, Anthrax menjadi antara ikon ‘Big Four’ band thrash metal di samping Metallica, Megadeth dan Slayer.

Persembahan bertenaga Anthrax di atas pentas.
Band heavy metal kelahiran New York ini ditubuhkan pada tahun 1981 oleh gitaris irama Scott Ian dan pemain bass Dan Lilker.

Ia dianggap antara peneraju thrash metal era 80-an dan dikagumi sebagai band thrash metal terawal muncul dari Pantai Timur Amerika.

Malah, dilaporkan kumpulan heavy metal terkemuka Metallica yang masih mentah pada ketika itu juga pernah bermalam di studio mereka pada 1983.

Perjalanan muzik Anthrax penuh dengan pelbagai rintangan. Sebagai antara band thrash metal terawal ditubuhkan, mereka menerima banyak kritikan namun semua itu tidak diendah.

Keunikan irama serta kolaborasi mereka membuktikan bahawa album klasik tidak ketinggalan zaman.

Anthrax bertanggungjawab terhadap kewujudan speed metal dan thrash metal. Alunan lazim thrash metal pada album terawal dan terkenal dengan lirik berunsurkan jenaka serta buku komik membezakan mereka dengan band lain.

Menurut Rolling Stone, "Anthrax adalah antara band heavy metal yang mendapat pujian kritis yang telah berjaya mentakrif semula genre tersebut sepanjang tahun 80-an."

Sepanjang 38 tahun bertapak di arena muzik heavy metal, Anthrax telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Kehormatan Rock & Roll Klasik 2012 bagi Metal Guru, Anugerah Kerrang 2004 bagi Spirit of Rock, Anugerah Metal Hammer Golden Gods bagi Band Metal Terbaik 2005 dan Anugerah Inspirasi 2016, dan Anugerah Metal Storm 2016 bagi Album Heavy/Melodic Metal Terbaik.

Band tersebut turut tercalon untuk beberapa Anugerah Grammy dari tahun 1991 hingga 2015 bagi kategori Persembahan Metal Terbaik.

Sehingga April 2017, Anthrax telah menerbitkan 11 album studio, beberapa album lain dan 26 single. Band ini telah menjual 2.5 juta rekod di Amerika dari tahun 1991 hingga 2004, dengan penjualan di peringkat antarabangsa sebanyak 10 juta.

Untuk rekod, lagu “I Am The Law" daripada album "Among the Living" pernah dijadikan soundtrack untuk filem "Judge Dredd" lakonan Sylvester Stallone pada 1987.

Susun letak penonton dan harga tiket konsert.
Konsert ulang tahun ke-30 "Among the Living" Anthrax anjuran Lampuneon ini dijadual diadakan di PGRM Tower, Star Convention Centre, Kuala Lumpur.

Tiket bermula pada harga RM338 (RM288 untuk pembeli awal) boleh dibeli di laman web Proticket.

Peminat bagaimanapun diingatkan agar tidak merakam gambar, video mahupun audio sepanjang konsert.