Anak dua orang rockers tersohor dari Malaysia dan Indonesia, Amy Search dan Ahmad Dhani Dewa 19 terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari yang sama.

Nabila Huda Suhaimi atau Nabila, anak kepada sosok utama kumpulan Search, Amy terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Karak pada petang Ahad.

Nabila bersama anaknya, Keisha dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuantan, Pahang. Kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka bersama seorang pemandu terbalik akibat kemalangan tersebut. Nabila dan Keisha dilaporkan selamat.

Bekas suami Nabila, Zaidy Zailani menerusi laman mikro Twitter menafikan Keisha patah tangan seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini.


Zaidy menjelaskan doktor mengesahkan tangan kiri Keisha hanya retak dan tiada kecederaan di bahagian lain.




Sementara di Jakarta, Indonesia pula, anak ketiga rockers terkenal Indonesia, Ahmad Dhani terlibat dalam kemalangan ngeri di Tol Jagorawi, Jakarta.

Berikutan kemalangan tersebut, anaknya, Ahmad Abdul Qodir Jaelani atau Dul mengalami patah kaki.

Beliau menjalani rawatan di Hospital Pondok Indah, Jakarta Selatan.

Sebelum itu beliau telah dikejarkan ke Hospital Melia, Cibubur sejurus selepas kemalangan.

Kemalangan dikatakan berpunca daripada kenderaan Mitsubishi Lancer yang dipandu oleh anak penyanyi kumpulan Dewa 19 itu.

Kenderaan itu dilaporkan masuk ke arah bertentangan secara tiba-tiba dan merempuh dua kenderaan lain.

Berdasarkan laporan Kompas.com, kemalangan itu telah meragut enam nyawa yakni Agus Komara, Agus Wahyudi, Rizki Aditya Santoso, Agus Surahman, Qomar, dan Nurmansyah. Sementara sembilan orang mengalami kecederaan

Berikutan kemalangan tersebut, ibu kepada salah seorang mangsa yang maut menuntut agar Ahmad Dhani membiayai persekolahan cucunya hingga selesai.

Wastiah, 60, ibu kepada Nurmansyah,31, menuntut agar Ahmad Dhani bertanggungjawab terhadap nasib cucunya, Muhammad Rizki,2.

Kompas.com melaporkan Wastiah mendakwa Nurmansyah merupakan tulang belakang keluarganya.

"Nurman itu tulang punggung keluarga, istrinya tidak kerja, anaknya juga masih kecil," katanya kepada Kompas.com

Wastiah menegaskan Ahmad Dhani perlu datang menemuinya sebagai tanda tanggung jawab seorang bapa yang membenarkan anaknya yang baru berusia 13 tahun memandu kereta.

Katanya, jika mahu mencari penyelesaian secara harmoni, Ahmad Dhani harus menampung perbelanjaan pendidikan kepada cucunya.

"Pokoknya saya tuntut Ahmad Dhani supaya cucu saya disekolahkan sampai selesai. Kalau tidak saya tuntut polisi," katanya.

Kompas.com juga melaporkan sehingga Nurmansyah dikebumikan, Ahmad Dhani masih belum menemui keluarga tersebut dan hanya menghantar wakil dari syarikat pengurusannya.

Ahmad Dhani dilaporkan akan datang menemui keluarga tersebut hari ini.

Menerusi laman mikro Twitter miliknya, Ahmad Dhani hanya memaklumkan anaknya Dul selamat menjalani pembedahan malam tadi.