Tokoh perisik terunggul di layar perak, James Bond, mahu berpisah dengan kereta Aston Martin miliknya.

Pelakon Daniel Craig, yang membawa peranan ikonik itu dalam empat buah filem, mahu melelong Aston Martin edisi terhad yang dihasilkan khas untuknya pada empat tahun lalu.

Firma yang menguruskan lelongan itu, Christie’s, memberitahu bahawa hasil bidaan tertinggi itu nanti akan disalurkan kepada organisasi kebajikan.

Pelbagai model kereta Aston Martin telah muncul dalam filem-filem Bond sejak 50 tahun lalu, bermula dengan Goldfinger pada tahun 1964, yang menyaksikan aktor Sean Connery memandu model DB5 berwarna perak.

Jenama tersebut telah muncul dalam kesemua empat filem Bond yang dilakonkan Craig.

Kereta milik Craig ialah model Vanquish tahun 2014 yang hanya dihasilkan sebanyak 100 buah bagi meraikan ulang tahun ke-100 Aston Martin.

Kereta Craig itu mempunyai nombor plat ‘007’.

"Ia satu penghormatan pada kerjaya beliau. Apa yang dia bawakan dalam watak Bond sangat dihargai oleh syarikat itu, dan pastinya, oleh jutaan peminatnya,” ujar Pengarah Christie’s, Becky MacGuire.

Kereta itu mempunyai luaran berwarna biru dengan kemasan dalaman material kulit berwarna biru gelap, kerana ia dihasilkan mengikut cita rasa Craig.

Hasil lelongan itu akan dimanfaatkan oleh badan kebajikan di New York, The Opportunity Network, yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari golongan kurang berkemampuan untuk mengejar impian mereka dalam pendidikan dan kerjaya.

Craig dan isterinyaa, aktres Rachel Weisz, merupakan ahli lembaga pengarah organisasi tersebut.
Nilai kereta itu dianggarkan antara AS$400,000 hingga AS$600,000 (RM1.56 juta hingga RM2.33 juta).