Tan Sri Abdul Wahid Omar hari diumumkan bersara sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkuatkuasa 30 Jun 2018, kata PNB dalam satu kenyataan.

Jawatan beliau akan digantikan Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Selain itu Datuk Awang Adek Hussin akan turut melepaskan jawatan Pengarah PNB berkuatkuasa 30 Jun ini.

“PNB mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Zeti dan melahirkan keyakinan berdasarkan pengalaman luas beliau sekaligus meneruskan kepimpinan utuh kepada Kumpulan PNB,” menurut kenyataan itu lagi.

Spekulasi perletakan jawatan Abdul Wahid bertiup kencang selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu.

Beliau dilantik menjadi Pengerusi Kumpulan PNB selepas tamat tempoh sebagai Senator dalam Kabinet Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Wahid turut mengepalai Unit Perancang Ekonomi (EPU) sewaktu berada dalam Kabinet sebelum menamatkan khidmat sebagai Senator pada Jun 2016.

Sebelum menyertai Kabinet Najib, Abdul Wahid merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank bermula Mei 2008 hingga Jun 2013.

Ia merupakan jawatan CEO ketiga beliau selepas memimpin Telekom Malaysia Berhad bermula Julai 2004 hingga ia berpisah dari Axiata Group Berhad pada April 2008.