Amalan kewangan sosial dalam Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah perlu menguna pakai teknologi ‘fintech’ bagi merevolusikan cara ia dikutip dan diagihkan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah ia boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pihak berkuasa agama dan zakat negeri-negeri.

“Kewangan Islam boleh diamalkan secara lebih cekap dan telus, dan pada skala yang lebih besar, menyumbang kepada perubahan besar ketika dunia menghadapi krisis global yang semakin meruncing," titah baginda ketika merasmikan Majlis Santapan bagi meraikan penubuhan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, pada malam tadi.

“Jumlah zakat boleh dikira dan pembayaran boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih, yang mana pembayar zakat boleh memilih cara bayaran mengikut pilihan masing-masing,” titah baginda.

Titah baginda lagi, instrumen kewangan Islam seperti zakat, sedekah dan wakaf amat diperlukan ketika dunia menghadapi krisis yang semakin mencabar.

“Pada masa ini, misalnya, ada 125 juta pelarian di dunia, dan tahap sumbangan kini tidak mencukupi untuk menyediakan keperluan asas kepada mereka.”

Baginda turut merujuk kepada Pertubuhan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) ketika ini melihat kebarangkalian menguna pakai instrumen kewangan Islam bagi menambah dana mereka.

“Sumber pendanaan yang ditawarkan oleh kewangan Islam boleh digunakan untuk menyokong organisasi seperti IFRC, bukan sahaja memberikan bantuan penting di tengah-tengah krisis, tetapi juga menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menyokong usaha mereka di kawasan berisiko sebelum bencana berlaku.

Baginda juga menegur pemain kewangan Islam yang dilihat hanya memanfaatkan negara maju.

“Malah sistem kewangan Islam sering dikritik kerana sudah terpesong daripada asas terasnya untuk memperkasakan pertumbuhan sosio-ekonomi.”

“Sebagai penyelidik syariah, pengawal selia, bank dan individu kita mesti bekerja keras untuk menidakkan naratif ini. Kita harus menunjukkan kepada dunia bahawa prinsip-prinsip dan amalan Islam amat bermanfaat ketika kita melihat prospek sosio-ekonomi global,” titah baginda lagi.