Tidak dinafikan platform perniagaan menerusi e-dagang buat masa ini mendapat tempat dalam kalangan pengusahanya untuk meraih sumber pendapatan.

Namun begitu terdapat beberapa pihak yang dilihat mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab dengan menjual produk terlarang menerusi platform tersebut.

Justeru Presiden Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil mencadangkan agar pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mewujudkan ‘polis IT’ bagi mengekang dan membendung tindakan sedemikian.

“Polis IT ini perlu ada data khas supaya kita tahu berhubung maklumat penjual kerana kita tidak mampu untuk kawal ribuan orang yang menjual dan adalah mustahil untuk kita lakukan secara konvensional jadi alternatif teknologi adalah langkah terbaik.

“Polis digital perlu bertindak bijak berhubung dengan data jadi perkara seperti ini memang diperlukan jika tidak memang sukar untuk kita banteras,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Menyentuh mengenai platform e-dagang itu sendiri, beliau berpendapat amaran keras perlu diambil terhadap mana-mana platform yang didapati turut memasarkan penjualan produk terlarang.

“Tidak kira sama ada mereka tahu atau tidak itu bukan alasannya kerana secara asasnya mereka patut tahu undang-undang dan mereka sepatutnya lebih berwaspada dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengingatkan orang ramai agar mengambil peranan untuk bersama membuat pilihan pembelian ekoran jualan menerusi platform tersebut yang agak tinggi terutamanya bagi mengelakkan menjadi kes penipuan siber.

“Pengguna perlu tahu kalau mereka beli dari penjual jahat ini, mereka mudah ditipu terutamanya kalau harga terlalu murah pasti ada sesuatu jadi peranan pembeli adalah buat aduan dan pihak KPDNHEP akan jalankan tindakan,” katanya.

Baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menzahirkan rasa kecewa setelah mendapati beberapa filem yang telah dicetak rompak dijual menerusi platform digital.

BACA: Finas kecewa platform e-dagang jual filem cetak rompak, 'Keluarga Iskandar' antara mangsanya