Pasaran dalam talian nombor dua Malaysia, 11street, hari ini mengumumkan bahawa 56 peratus daripada penjual berdaftarnya adalah wanita yang menjual produk dalam pelbagai kategori pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoseok Kim berkata, membeli-belah dalam talian telah terbukti menjadi pemangkin bagi usahawan wanita dan jumlah mereka semakin bertambah dalam industri e-dagang.

"Kategori utama jumlah penjual wanita berdaftar tertinggi adalah segmen kesihatan dan kecantikan, dengan 30 peratus daripada mereka menjual kosmetik, wangian, makanan tambahan dan peralatan, serta barang-barang penjagaan kulit dan diri secara dalam talian," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, tujuh peratus daripada penjual wanita 11street meneroka kategori yang dikuasai lelaki termasuk elektronik rumah dan telefon bimbit, IT dan kamera.

Data-data ini telah diumumkan 11street sempena Hari Wanita Antarabangsa, semalam.

Platform berkenaan, pertama kali dilancarkan di Malaysia pada 2015, mempunyai visi untuk membantu penjual mencapai potensi sepenuhnya, terutamanya usahawan wanita menerusi program pembangunan penjual dan 11street Academy.

Kim berkata, secara purata, peniaga 11street telah menyaksikan peningkatan pendapatan jualan sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus dalam tempoh enam bulan selepas mengikuti kursus di 11street Academy, platform persijilan e-dagang yang pertama diperakui negara.

"Ramai usahawan wanita telah mengatasi penanda aras purata, malah ada yang telah dapat menggandakan atau tiga kali ganda prestasi jualan mereka," katanya.

11street, ditubuhkan di Korea pada 2008, kini merupakan antara penyedia pasaran e-dagang global utama dengan 400,000 penjual kepada lebih 30 juta pengguna di seluruh dunia.

11street juga berada di Turki dan Thailand, masing-masing dikenali sebagai n11 dan 11street.