Mempunyai rakan kongsi strategik asing untuk mencergaskan semula Malaysia Airlines Bhd (MAS) tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu asalkan pelan pemulihan itu mampu membolehkan syarikat penerbangan negara itu ''terbang tinggi'', kata Tan Sri Dr Mohamed Munir Abdul Majid.

Mohamed Munir, yang merupakan pengerusi Malaysia Airline System Bhd selama tujuh tahun berkata selepas beberapa siri pelan pemulihan menemui kegagalan, Malaysia perlu lebih realistik dan sedar perniagaan syarikat penerbangan merupakan industri antarabangsa.

Beliau menegaskan model kerjasama strategik telah diamalkan di peringkat global dan terbukti berjaya dalam meletakkan beberapa syarikat penerbangan dalam kedudukan baik.

Menjadikan British Airways dan Spanish-Iberia serta KLM dan Air France sebagai contoh terbaik, Mohamed Munir berkata walaupun struktur kerjasama startegik membabitkan dua syarikat penerbangan disatukan di bawah syarikat pemegangan boleh berjaya, ia turut bergantung pada apa yang rakan kongsi strategik bawa ke meja perbincangan untuk menjadikan syarikat penerbangan berfungsi lebih baik.

"(Misalnya) mereka boleh menimbangkan untuk membuka destinasi atau laluan baharu dan pada masa yang sama merasionalisasikan pemilikan jumlah pesawat dan walaupun akan wujud beberapa isu dari segi campur tangan politik (di peringkat global), (ia adalah ok) selagi ia berhasil untuk syarikat penerbangan," katanya kepada pemberita di luar Siri Meja Bulat ASEAN mengenai 'ASEAN 2040: Kepentingan kepimpinan bersama, integrasi dan pemusatan dalam waktu tidak menentu' di sini, pada Jumaat.

Pada masa yang sama, Munir mencadangkan bahawa yang terbaik adalah menyingkirkan campur tangan politik dan kerajaan.

"... tiada siapa akan bertoleransi dengan campur tangan seumpama itu sekiranya rakan kongsi strategik masuk dan beliau mahu menguruskannya," katanya dan menurutnya pihak pengurusan akan memikul tanggungjawab penuh bagi sebarang keputusan yang dibuat.

"Jika sesuatu yang tidak betul berlaku, kerajaan tidak ada kena mengena dengannya. Pengurusan MAS perlu profesional dan kuat, dan campur tangan kerajaan perlu diminimumkan, atau lebih baik lagi disingkirkan," katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia perlu pertimbangkan untuk menerima hakikat bahawa Malaysia mungkin bukan pemegang saham majoriti di peringkat syarikat pemegangan, tetapi "(jika) syarikat penerbangan bekerja lebih baik, pulangan anda akan lebih baik, bagus untuk syarikat penerbangan, bagus untuk pemegang saham."


Mengulas kemungkinan usaha sama antara MAS dan AirAsia, Munir mengambil pehatian model perniagaan bukan satu isu, tetapi lebih mengenai perbezaan budaya kerja.

"Dalam sebarang penggabungan dalam mana-mana perniagaan, anda (rakyat) sentiasa ada di dalamnya, jika (terdapat) perkara yang boleh menimbulkan masalah, (ia) adalah integrasi budaya, integrasi rakyat.

"Jika itu tidak wujud atau menjadi masalah, bagaimana ia (penggabungan) boleh berjaya?" katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan telah menerima empat cadangan daripada pihak berminat untuk memulihkan MAS.

Turut dilaporkan bahawa pengasas bersama dan bekas pengerusi AirAsia Group Bhd Datuk Pahamin Ab Rajab serta beberapa syarikat asing, termasuk daripada Eropah, Asia dan Timur Tengah, menunjukkan minat serius terhadap syarikat penerbangan kebangsaan itu.

-- BERNAMA