Transformasi digital akan menjana kira-kira AS$10 bilion (AS$1=RM3.90) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.6 peratus setahun menjelang 2021, demikian menurut kajian perniagaan yang dikeluarkan hari ini.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, pada 2017 sahaja, kira-kira tujuh peratus daripada KDNK Malaysia diperoleh daripada produk dan perkhidmatan digital yang dihasilkan secara langsung melalui penggunaan teknologi digital, seperti mobiliti, awan, Internet Perkara dan kecerdasan buatan ( AI).

"Malaysia sedang giat melaksana transformasi digital dan dalam tempoh empat tahun, kami meramal akan menyaksikan kira-kira 45 peratus daripada KDNK yang diperoleh daripada produk dan perkhidmatan digital," katanya kepada pemberita semasa pengeluaran penemuan kajian perniagaan itu di sini, hari ini.

Kajian bertajuk 'Mengkaji Kesan Ekonomi Transformasi Digital di Asia Pasifik' itu dihasilkan Microsoft dengan kerjasama IDC Asia/Pasifik.

Ia berdasarkan kaji selidik yang melibatkan 1,560 pembuat keputusan perniagaan dalam organisasi bersaiz sederhana dan besar di 15 negara di rantau ini, termasuk 100 responden dari Malaysia.

Kajian itu memaparkan kesan pantas dan gangguan yang meluas terhadap model perniagaan tradisional berikutan transformasi digital dan meramalkan peningkatan dramatik dalam kadar transformasi digital merentasi ekonomi Asia.

Raman berkata, pada masa yang sama, organisasi di Asia Pasifik semakin menggunakan teknologi baru, seperti AI, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi digital mereka yang akan mempercepatkan lagi pertumbuhan.

Kajian berkenaan mengenal pasti lima faedah penting daripada transformasi digital - meningkatkan produktiviti, margin keuntungan, pengurangan kos, peningkatan pendapatan daripada produk dan perkhidmatan baru dan sokongan pelanggan, katanya.

"Manfaat ini juga akan meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Beliau berkata, kajian itu mendedahkan bahawa ramai yang percaya bahawa transformasi digital akan membawa perubahan kepada masyarakat, termasuk peningkatan pendapatan peribadi melalui kerja bebas dan digital, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan peluang pendidikan dan latihan serta bandar yang lebih pintar, selamat dan cekap.

Menurut kajian tersebut, peningkatan transformasi digital dalam ekonomi Asia Pasifik akan menjejaskan pasaran buruh di mana banyak jenis pekerjaan akan berkembang dan berubah.

"Ini disokong kuat oleh responden Malaysia, yang meramalkan 96 peratus pekerjaan akan berubah dalam tiga tahun akan datang melalui transformasi digital, dan lebih separuh daripada tenaga kerja di pasaran hari ini akan dipindahkan ke peranan nilai yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan zaman digital," katanya.

Raman berkata, apa yang menggalakkan ialah 76 peratus responden yakin profesional muda mereka mempunyai kemahiran untuk menghadapi masa depan dan membantu mereka beralih kepada kerja baharu.

Kerajaan dan organisasi perlu memberi tumpuan kepada melatih semula dan meningkatkan kemahiran kerana pembelajaran berterusan adalah penting untuk memastikan transformasi tenaga kerja yang berjaya untuk era digital, katanya.

"Zon perdagangan bebas digital, e-dagang dalam talian dan pelan induk digital oleh kerajaan akan memberi manfaat kepada masyarakat dan pengguna.

"Kami menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam menggalak penggunaan transformasi digital," katanya.

-- BERNAMA