Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menyiapkan draf pindaan bagi 18 undang-undang dalam usahanya untuk melaksanakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk J. Jayasiri berkata proses pindaan akan dilakukan secara berperingkat kerana sesetengah undang-undang lebih mudah manakala setengah yang lain lebih rumit.

"Proses telahpun bermula yang mana draf bagi semua 18 undang-undang yang perlu dipinda telahpun dilakukan dan perundingan sedang berlangsung.

"Memandangkan Bajet 2017 semakin hampir, sukar untuk mengemukakan rang undang-undang (kepada Parlimen) untuk pertimbangan tetapi kami berharap melakukan semua ini pada separuh pertama tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas seminar separuh hari "Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS): Rentas Sempadan" di sini, hari ini.

Apabila ditanya apa yang akan berlaku sekiranya undang-undang itu diratifikasikan di Malaysia tetapi gagal melepasi kongres AS, beliau berkata: "Kami masih belum memutuskan apa yang akan dilakukan tetapi kami boleh menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu sehingga tempoh masa perjanjian tersebut mula berkuatkuasa".

Menyentuh mengenai satu lagi perjanjian perdagangan mega, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), beliau berkata akan ada dua lagi pusingan rundingan dan semua negara yang terlibat berusaha keras untuk memastikan mereka mencapai hasil pada akhir tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa cabaran kerana sukar bagi semua 16 negara untuk mencapai satu titik persamaan.

Seminar itu, yang dianjurkan bersama oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), syarikat logistik UPS dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN, bertujuan untuk melengkapkan PKS dengan pengetahuan mengenai perjanjian perdagangan bebas yang Malaysia meterai untuk memudahkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai serantau dan global.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim, Naib Presiden Hal Ehwal Awam Asia Pasifik UPS Shiumei Lin dan Ketua Perwakilan Majlis Perniagaan AS-ASEAN Ezani Mansor. -Bernama