Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membantu mengukuhkan standard alam sekitar, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk J. Jayasiri.

Jayasiri dalam satu kenyataan hari ini berkata, objektif Bahagian Alam Sekitar dalam TPPA adalah untuk memastikan dasar perdagangan dan alam sekitar saling menyokong, menggalakkan tahap perlindungan alam sekitar tinggi.

Ia juga bertujuan memastikan penguatkuasaan efektif semua undang-undang alam sekitar dan memastikan aktiviti perdagangan tidak menjejaskan perlindungan alam sekitar, katanya.

"Kerajaan berhak untuk mengenakan langkah-langkah melindungi alam sekitar, termasuk langkah-langkah baharu yang akan meningkatkan perlindungan alam sekitar, selagi langkah-langkah ini bukan diskriminasi dan boleh dikuatkuasakan bagi produk luar dan domestik," katanya.

Jayasiri berkata demikian sebagai menjawab satu artikel bertajuk "Environment issues and the TPPA" (Isu-Isu Alam Sekitar dan TPPA) oleh Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) yang disiarkan oleh The Sun bertarikh 28 Disember 2015.

Dalam artikel tersebut, AWER membangkitkan kebimbangan tentang beberapa isu alam sekitar antaranya -- adakah penaikan taraf undang-undang alam sekitar sedia ada akan dianggap sebagai halangan perdagangan sekiranya ia menghalang produk tertentu daripada dijual di Malaysia?

"TPPA menggalakkan standard alam sekitar tinggi, justeru itu langkah menaik taraf standard alam sekitar yang tinggi akan selaras dengan TPPA.

"Malaysia dijangka meraih manfaat daripada kerjasama dan aktiviti pembangunan kapasiti menerusi pemindahan teknologi dan pengetahuan, pengalaman serta kepakaran dengan negara anggota TPP lain yang lebih maju," katanya.

Mengehadkan sekatan

Mengulas bagaimana Malaysia dapat menangani isu kemasukan produk dan perkhidmatan mesra alam sekitar serta kemungkinan berlakunya "greenwashing" atau tuntutan palsu mengenai manfaatnya terhadap alam sekitar, Jayasiri berkata, Perkara 20.18 dalam bahagian alam sekitar tersebut jelas menggalakkan penggunaan barangan dan perkhidmatan berkenaan dengan menurunkan tarif serta mengehadkan sekatan berkaitan.

"Ini sejajar komitmen yang dipersetujui oleh semua negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2009 untuk menggurangkan tarif ke atas 54 jenis produk dalam senarai Barangan Alam Sekitar APEC kepada sifar hingga lima peratus menjelang 2015," katanya.

Antara barangan itu termasuk dandang penjanaan wap, panel lantai buluh, alat pemanas air bertenaga solar atau suria serta penapis cecair bagi tujuan kawalan pencemaran, katanya.

"Jika mana-mana produk atau perkhidmatan tidak mesra alam seperti yang didakwa, Malaysia sememangnya memiliki undang-undang serta peraturan untuk mengendalikan kemasukan produk atau perkhidmatan seumpamanya," katanya.

Jayasiri turut menegaskan, selain menerusi TPPA, pendekatan lain juga perlu diambil bagi mempertingkat kapasiti dan kemampuan syarikat tempatan.

"Usahawan tempatan boleh memanfaatkan TPPA sebagai platform untuk mempertingkatkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi kerjasama teknologi dan pembangunan kapasiti bagi membolehkan mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka ke negara anggota TPP yang lain.

"Malah, pelbagai isu yang menyentuh keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing dengan para penggiat antarabangsa, turut dinyatakan di bawah pelbagai bab TPPA seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana, Persaingan dan Kemudahan Perniagaan," katanya.