Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya,TNB International Sdn Bhd (TNBI) kini menguasai pegangan ekuiti dalam salah sebuah anak syarikat platform tenaga solar terbesar, Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex Solar) di United Kingdom (UK).

Pemerolehan terhadap EFG Hermes Holding SAE itu dianggarkan bernilai 11 juta pound sterling (RM59 juta), dan meningkatkan pegangan ekuiti TNB dalam Vortex Solar kepada 55 peratus (%), sekali gus memberikan TNB penguasaan majoriti dalam syarikat tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemerolehan tersebut merupakan satu pencapaian penting terhadap komitmen TNB untuk mengurangkan jejak karbon syarikat itu dan mengembangkan portfolio perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE).

Katanya, ia sejajar dengan aspirasi transisi tenaga untuk menjadi peneraju kepada penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara.

“Dengan pemerolehan ini, TNB kini menguasai pegangan majoriti Vortex Solar, sekaligus memperkukuhkan jejak perniagaan Kumpulan dalam bidang RE di Eropah selepas pemilikan penuh Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), portfolio Feed-in-Tariff (FiT) angin terbesar di UK.

“Ia juga adalah satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan RE TNB di UK dan Eropah, malah ia adalah satu langkah terancang untuk menguasai aset-aset RE berprestasi tinggi, bermula dengan penguasaan pegangan 100 peratus TWV pada awal tahun ini,” kata beliau dalam kenyataan, pada Khamis.

Dengan memanfaatkan keupayaan sedia ada TNB dan penguasaannya dalam TWV dan Vortex Solar, Amir berkata TNB akan mengembangkan perniagaannya di Eropah sejajar dengan strategi pertumbuhan RE di peringkat antarabangsa.

Jelas beliau, pelaksanaan tersebut akan dilakukan melalui penstrukturan semula Vortex Solar dan TWV untuk menjadi Syarikat Aset Tenaga Boleh Diperbaharui yang bertujuan memiliki, menjalankan operasi serta mengurus portfolio aset-aset RE di UK dan Eropah.

“Walaupun berdepan dengan keadaan tidak menentu akibat wabak COVID-19, prestasi kewangan dan operasi Vortex Solar dan TWV adalah di luar jangkaan.

“Penguasaan Vortex Solar menyumbang secara positif kepada objektif kewangan dan strategik TNB.

“Portfolio itu mencatatkan EBITDA GBP39.1 juta pada 2019 dan berkembang daripada margin EBITDA 80% pada 2018 kepada 84% pada 2019. Pemerolehan ini juga dijangka menyumbang secara positif terhadap keuntungan bersih kumpulan,” katanya.