Tiga muka baharu merupakan antara 10 individu terkaya di Malaysia yang memasuki senarai 40 orang terkaya Malaysian Business bagi 2015.

Mereka ialah Ong Beng Seng usahawan kelahiran Sabah yang melompat ke tangga ketujuh daripada tangga ke-12, pemegang saham Rimbunan Hijau Group Tan Sri Tiong Hiew King (naik ke tangga kesembilan daripada tangga ke-11) dan pemegang saham Hap Seng Consolidated Bhd, Tan Sri Lau Cho Kun (tangga ke-10 daripada ke-14).

Ong, pengasas Hotel Properties Ltd di Singapura bernilai RM6.63 bilion tahun ini, meningkat RM3.53 bilion.
Kekayaan Tiong dan Lau dihitung masing-masing sebanyak RM5.10 bilion dan RM4.90 bilion, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan hari ini.

Jutawan Robert Kuok Hock Nien yang berpangkalan di Hong Kong, menerusi kumpulan Kerry Group dan Kuok Group, masih merupakan taikun paling kaya tahun ini dan mengekalkan kedudukannya di tempat pertama sejak hampir 14 tahun lepas apabila senarai tersebut dimulakan.

Malaysian Business berkata bagaimanapun, kekayaan Kuok jatuh agak ketara kepada RM41.35 bilion tahun ini daripada RM54.48 bilion pada 2013.

Raja telekomunikasi, T. Ananda Krishnan, mengekalkan tempat keduanya sejak 2004, dengan aset beliau dipegang menerusi Usaha Tegas Sdn Bhd yang bernilai RM35.50 bilion.

Di tempat ketiga ialah pengerusi dan ketua Eksekutif Genting Malaysia Bhd Tan Sri Lim Kok Thay yang melonjak daripada kedudukan ketujuh tahun lepas. Kekayaannya bernilai RM25.35 bilion.

Pengerusi Hong Leong Group Tan Sri Quek Leng Chan kekal di tempat keempat dengan aset bernilai RM20.42 bilion, manakala pengasas dan pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow turun dua tangga ke tempat kelima.

Kekayaan Teh, bagaimanapun meningkat sedikit daripada RM18.06 bilion tahun lepas kepada RM18.17 bilion tahun ini.

Pengerusi eksekutif kumpulan IOI Tan Sri Lee Shin Cheng menduduki senarai keenam dengan kekayaan bernilai RM13.45 bilion.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary masih mengekalkan kedudukannya sebagai Bumiputera terkaya dalam senarai itu meskipun kekayaannya merosot daripada RM11.07 bilion kepada RM5.23 bilion.

"Penurunan itu adalah disebabkan hakikat bahawa beliau telah menjadikan lima daripada syarikatnya sebagai syarikat sendirian berhad sejak 12 bulan lalu," kata Malaysian Business.

Gabungan kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia itu ditunjukkan menerusi nilai aset tersenarai mereka sehingga 16 Jan, 2015, meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM236.56 bilion daripada RM217.82 bilion tahun sebelumnya.