Khazanah Nasional Berhad mempertimbangkan untuk menjual pegangan dalam taman tema Legoland jika urus niaga itu memberikan pulangan modal tinggi.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, bagaimanapun berkata, sehingga kini belum ada sebarang perbincangan ke arah penjualan berkenaan.

"Kami belum belum berbincang dengan mana mana pihak setakat ini dan tiada pihak yang tampil membuat tawaran," katanya ketika dalam pembentangan Semakan Tahunan Khazanah di sini pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau berkata, pulangan modal yang tinggi juga amat penting bagi penerokaan pelaburan baharu buat syarikat pelaburan kerajaan itu.

Penerokaan itu, jelas beliau, termasuk dalam sektor sedia ada mahupun baharu.

“Semua aset kami mempunyai nilai, namun jika ada pihak yang hadir menawarkan nilai hebat untuk aset kami, menjadi tanggungjawab kami untuk menilai sama ada pulangan itu baik untuk pelaburan baharu,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Shahril berkata, Legoland mencapai kejayaan yang hebat dengan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta keuntungan yang positif.

“Akan ada masa Khazanah perlu juga memikirkan soal pelaburan semula. Kami boleh lakukan pelaburan dalam sektor baharu melalui pelupusan pegangan," tambah beliau.

Shahril Ridza berkata demikian sebagai mengulas laporan Bloomberg yang memetik sumber bahawa Khazanah sedia melepaskan pegangan dalam taman tema di Johor itu bernilai RM1 bilion.

Legoland dimilik oleh unit Khazanah dan diselia oleh Merlin Entertainments Plc.

BACA: Khazanah Nasional Berhad rugi RM6.3 bilion