Syarikat telekomunikasi (telco) di Singapura, Malaysia dan Indonesia membayar dividen tertinggi kepada kerajaan masing-masing, menurut Moody's Investors Service.

Menurutnya perbelanjaan modal, dividen dan pembelian balik saham, pembayaran spektrum dan cukai merupakan kos terbesar bagi syarikat telco di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Dalam satu nota pada Rabu, agensi penarafan kredit itu berkata pembayaran dividen kepada kerajaan merupakan aliran tunai lebih tinggi berbanding pembayaran spektrum di beberapa negara.

Syarikat telco yang membayar sebahagian besar jumlah perolehan mereka dalam bentuk dividen iaitu Malaysia dan Singapura cenderung membayar lebih rendah untuk spektrum, manakala syarikat telco yang membayar dividen boleh abai seperti India dan Thailand membayar jumlah yang besar bagi spektrum, katanya.

Moody's berkata syarikat telco di Malaysia dan Singapura membayar kira-kira 20 peratus daripada perolehan mereka kepada kerajaan, dua kali lebih tinggi iaitu 7.0 ke 10 peratus bagi syarikat telco di Pakistan dan India.

Singapura, Malaysia dan Indonesia mempunyai lebih banyak syarikat telekomunikasi milik kerajaan berbanding negara-negara lain.

"Sejak 10 tahun lepas, syarikat telekomunikasi utama di ketiga-tiga negara ini membayar dividen lebih tinggi kepada kerajaan masing-masing berbanding rakan sektor swasta di negara lain yang perlu membayar untuk spektrum, seperti ditunjukkan dalam jumlah pembayaran kepada kerajaan sebagai peratusan perolehan agregat syarikat telco.

"Oleh itu, mereka juga membayar peratusan tertinggi bagi perolehan agregat kepada kerajaan masing-masing," katanya.

Di Malaysia, yang mana dividen kepada kerajaan berjumlah 11.9 peratus daripada perolehan agregat tiga peneraju syarikat telco, kerajaan memegang kepentingan dalam Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd dan DiGi.com Bhd.

Kepentingan ini dipegang menerusi entiti berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai kumpulan wang simpanan pusat di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, syarikat telco di Singapura, Indonesia dan Malaysia juga menerima tahap sokongan kerajaan yang lebih tinggi menerusi rangka kerja pengawalselian yang lebih stabil dan mudah dijangka di negara-negara terbabit.

Menurut Moody's Investors Service, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi reaksi segera ke atas cadangan penggabungan Axiata Group Bhd (Baa2 stabil) dan Telenor pada Mei dengan mengeluarkan garis panduan pengambilalihan dan penggabungan selepas dua minggu pengumuman tersebut.

Bagaimanapun katanya SKMM turut melaksanakan peraturan yang menjejaskan operator iaitu Standard Mandatori mengenai Harga Capaian pada 2018 bagi mengawal harga jalur lebar, menyebabkan perolehan Telekom Malaysia Bhd (A3 stabil) menyusut 2.2 peratus.

Peningkatan penarafan bagi Telekom Malaysia dan Axiata mendapat manfaat daripada sokongan kerajaan, katanya.

"Pembayaran dividen dan spektrum yang tinggi beserta perbelanjaan modal yang tinggi menyebabkan aliran tunai bebas negatif daripada 2009 sehingga 2018 bagi telco di lima negara Asia Selatan dan Asia Tenggara yang dikaji dalam laporan ini.

"Kami menjangka aliran ini akan berterusan sekurang-kurangnya 2021. Dengan mengambil kira kekurangan aliran tunai bebas, kami tidak menjangka telco mampu menjana tunai yang mencukupi dan mengurangkan leveraj yang tinggi," kata Moody's.

-- BERNAMA