Malaysia bakal menerima pemulangan pertama daripada wang yang dilaporkan dicuri daripada syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tidak mendedahkan jumlah yang bakal diterima, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ia bukan bernilai bilion Ringgit.

"Ia bukan bilion Ringgit, tapi satu permulaan yang baik dan merupakan berita yang baik.

"Kami harap ia akan disusuli dengan bayaran seterusnya kepada Malaysia, yang mana kita akan mendapatkan semula wang yang dicuri dari 1MDB," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Selain enggan mendedahkan jumlah yang bakal diterima, Guan Eng juga tidak mendedahkan sama ada wang itu disalurkan dari dalam atau luar negara.

"Kita akan umumkan apabila ia telah dimuktamadkan," katanya.

Beliau pada masa sama menggesa parti-parti politk yang didakwa menerima wang daripada 1MDB untuk memulangkan kembali wang tersebut kepada Kerajaan.

Gesaan Guan Eng itu dibuat selepas beberapa parti politik yang didakwa menerima wang 1MDB menyatakan sokongan tehadap Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan perdana menteri semalam.

"Sekiranya mereka tidak pulangkan, kita akan ambil tindakan termasuk tindakan undang-undang. Kita akan lakukannya langkah demi langkah. Kita akan dapatkan amaun yang banyak dahulu," tambahnya.