Surina Shukri telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa esok.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dalam satu kenyataan hari ini.

Surina menggantikan Datuk Yasmin Mahmood yang meletak jawatan pada 7 Dis lepas.

Gobind berkata Surina, yang membina sebahagian besar kerjaya profesionalnya di Amerika Syarikat, telah kembali ke Malaysia untuk memainkan peranan baharunya di MDEC.

Katanya, MDEC telah berjaya menerajui pembinaan ekosistem ekonomi digital negara dan telah banyak memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya yakin Surina akan berusaha untuk terus membina MDEC dengan kepimpinan dan pengalaman beliau dan membawa MDEC ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas dunia," tambah Gobind. -- Bernama