Serba Dinamik Group Bhd merancang untuk memperkukuhkan bidang teknologi maklumat (IT) bagi memacu pertumbuhan syarikat itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata bidang IT itu berjaya menjana jualan berjumlah RM25 juta dalam tempoh empat bulan tahun ini.

"Selepas meneroka perniagaan IT selama dua tahun, kami jangkakan perniagaan ini akan menyumbang RM150 juta hingga RM200 juta kepada pendapatan tahun ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Peningkatan mendadak sehingga 25 kali ganda itu bakal disumbangkan menerusi penganjuran sidang kemuncak oleh syarikat itu pada bulan depan.

Katanya, sidang kemuncak yang julung kali dianjurkan itu akan menjadi platform kepada pihaknya mempamerkan produk IT miliknya selain mendapatkan pelanggan baharu.

"Beyond Paradigm Summit 2019 yang akan diadakan pada bulan depan dianjurkan oleh Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd buat kali pertama dan menjadi medan terbaik buat syarikat untuk mempamerkan semua produk IT kami.

"Sidang kemuncak ini adalah strategi pemasaran dan jualan lompat kuantum yang mana kami mahu orang mengenali kami dengan lebih meluas dan pantas," ujarnya.

Sidang kemuncak yang akan diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17 dan 18 Julai ini akan mempamerkan pelbagai teknologi canggih yang merangkumi idea teras digitalisasi dan pertukaran data yang merentasi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, sidang kemuncak itu juga bakal dianjurkan di Sarawak iaitu di Hotel Pullman, Kuching pada 20 dan 21 Julai dengan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.