Syarikat pengeluar kereta tempatan, Proton bakal mengeluarkan dua model baharu dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dan akan dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong.

Dua model itu bakal menjadi pengeluaran pertama menggunakan kepakaran Proton sepenuhnya selepas jenama itu diambilalih oleh syarikat Geely.

Kedua model itu dijangka mula dibangunkan tenaga pakar Proton selepas jenama itu melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang amat dinantikan X50 tidak lama lagi.

"Saya ingin maklumkan kami kini sedang berbincang untuk pembangunan (model baharu) oleh pakar Proton, bukan hanya satu model tetapi dua model secara bersama," katanya ketika temubual eksklusif oleh Agenda AWANI pada Jumaat.

Rakaman temubual berkenaan akan ditayangkan di Astro AWANI (saluran 501) pada pukul 9 malam ini.

Sejak pengambilalihan Geely, Proton mengeluarkan model X70 yang dibangunkan model yang berasaskan model SUV Boyue Geely.

"SUV merupakan pengubah dalam pasaran. Sama seperti lima tahun lalu di China,g SUV dikeluarkan dan sehingga kini 50 peratus (model SUV).

"Model seterusnya adalah SUV. Meskipun di Malaysia segmen sedan mempunyai pasaran besar, namun saya percaya ia akan berubah terutama apabila kami melancarkan model SUV baharu tidak lama lagi,' katanya.

Dr Li pada masa sama yakin jualan model Proton akan terus meningkat meskipun pendapatan boleh guna isi rumah Malaysia terjejas akibat penularan COVID-19.

Malah angka jualan Proton sehingga Ogos lalu menunjukan pertumbuhan positif.

"Saya yakin angka jualan tahun ini akan melepasi angka jualan tahun lepas,' tambahnya.

Untuk rekod, Proton menjual sebanyak 100,821 unit kenderaan pada 2019.