Kerajaan Selangor yang meninjau usaha menarik pelaburan dalam sektor perkhidmatan merungkas pesawat dan komponennya, kini dalam proses perbincangan dengan pengeluar pesawat terkemuka Eropah, Airbus untuk membuka fasiliti berkenaan di negeri tersebut.

Menteri Besar, Amirudin Shari pada Khamis berkata, andai menjadi kenyataan, perbincangan yang dijangka memakan masa 6-8 bulan itu akan menyaksikan Malaysia muncul sebagai negara pertama di Asia Tenggara menawarkan khidmat terbabit.

"Pada masa ini, kami masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai yang perlu berhampiran dengan landasan kapal terbang," katanya selepas majlis pecah tanah tambahan kemudahan syarikat Airfoil Services Sdn Bhd (Airfoil Services) di sini.

Proses asas merungkas pesawat itu termasuk mengeluarkan cecair atau bendalir servis, merungkas komponen cecair daripada ekor, sayap dan badan, mengeluarkan gear pendaratan dan ruang kabin dan seterusnya membungkus dan menghantar komponen terbabit ke fasiliti baik pulih manakala lebihan badan pesawat itu dikitar semula.

Selain itu, alat ganti yang telah dibaikpulih dan disahkan semula akan dijadikan sebahagian daripada stok sera menjadi alternatif terbaik serta menarik untuk pengeluar peralatan tulen dari segi harga, ketersediaan serta tempoh berkaitan.

Satu laporan Research and Markets.com pada tahun lepas menganggarkan pasaran bagi perkhidmatan merungkas pesawat itu adalah sekitar AS$97 juta (AS$1=RM4.15) dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul antara 6.0-7.0 peratus serta mencecah kira-kira US$180 juta pada 2027.

Pasaran bagi komponen yang masih boleh digunakan itu adalah kira-kira US$1.30 bilion pada 2018 dan dijangka melepasi AS$3 bilion menjelang 2027.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Airfoil Services, Wim van Beers berkata syarikat itu memperuntukkan sejumlah AS$15 juta bagi tujuan pelaburan kemudahan tambahan berkenaan yang dijangka siap pada Jun tahun depan.

Kemudahan itu juga, katanya, akan dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 900,000 komponen berbanding 650,000 unit ketika ini selain mewujudkan 200 pekerjaan baharu.

Airfoil Services mempunyai seramai 500 pekerja pada masa ini. -- Bernama