Syarikat Sapura Energy Berhad dianugerahkan kontrak bernilai RM3 bilion oleh Oil and Natural Gas Corporation (ONGC) di India.

Kontrak tersebut dianugerahkan kepada Sapura dan rakan konsortiumnya melibatkan Sapura Fabrication Sdn. Bhd. dan Afcons Infrastructure Limited.

Mengumumkan perkara tersebut syarikat berkenaan berkata, kontrak yang dianugerahkan itu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) bagi Platform Pemprosesan Pusat (CPP) serta pembinaan kuarters pelantar.

Projek itu terletak di dua blok luar pesisir Godavaru Delta Pantai Timur India melibatkan keluasan kawasan 7,295 kilometer.

Sapura Fabrication mempunyai pegangan 48.3 peratus dalam konsortium sekali gus diterjemah kepada nilai kontrak bernilai RM1.47 bilion.

“Kontrak baharu itu akan meningkatkan kehadiran syarikat dalam pasaran pesat membangun dan Sapura Energy komited untuk terus menyumbang kepada industri minyak di India," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.