Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$101.9 bilion (RM430.4 bilion) pada 30 Nov, 2017 berbanding US$101.5 bilion (RM429 bilion) yang direkodkan pada 15 Nov, 2017.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan itu mencukupi untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa itu merangkumi rizab mata wang asing (US$95.4 bilion), kedudukan rizab Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$0.8 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.2 bilion), emas (US$1.5 bilion) dan aset rizab lain (US$3.0 bilion).

Aset-aset pula terdiri daripada emas dan tukaran asing serta rizab lain termasuk SDR (RM430.385 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM4.09 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM7.878 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.666 bilion), tanah dan bangunan (RM2.113 bilion) serta aset-aset lain (RM8.788 bilion). -- Bernama