Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya membenarkan pokok getah yang ditebang dieksport ke luar negara.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata banyak pokok getah yang telah tua dan tidak produktif dibiarkan begitu sahaja kerana harga kayu getah di negara ini murah.

"Untuk mengelak pembaziran, RISDA akan mengusulkan agar kayu getah dibenarkan dieksport kerana adanya permintaan dari luar negara," katanya pada sidang akhbar di sini selepas berdialog dengan pekebun kecil getah Perlis di sini, petang semalam.

Beliau turut berkata kerajaan sentiasa komited untuk membantu pekebun kecil berikutan kejatuhan harga komoditi itu termasuk mempertimbangkan permohonan mereka bagi mengurangkan caj pemprosesan pekerja asing yang mahal.

"Pekebun kecil merungut kerana caj membawa masuk pekerja asing melebihi RM270 seorang sedangkan harga getah jatuh agak teruk. Isu ini akan ditangani segera," kata Zahidi.

Pada masa sama, katanya, RISDA turut meminta pekebun menghasilkan lebih banyak getah lateks yang menguntungkan berbanding getah sekerap selain memohon kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) agar menaikkan subsidi getah bagi menggalakkan pekebun kecil menambah pengeluaran untuk menampung permintaan tempatan.

Zahidi turut meminta pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan ladang mereka dengan tanaman yang boleh menjana pendapatan sampingan seperti sayur-sayuran dan herba.