Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan permintaan yang lebih baik terhadap unit tempatan dalam persekitaran data ekonomi yang tidak menggalakkan dari Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1755/1795 berbanding dolar US daripada 4.1785/1815 semasa ditutup pada Rabu.

Public Investment Bank dalam nota berkata laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdagangan AS pada Rabu menunjukkan pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan daripada jangkaan pada suku ketiga.

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan berbanding suku tahun sebelumnya menunjukkan kemerosotan yang ketara dalam perbelanjaan pengguna, yang meningkat sebanyak 2.9 peratus pada suku ketiga selepas melonjak sebanyak 4.6 peratus pada suku kedua," katanya.

Dalam perkembangan lain, pembatalan Sidang Kemuncak APEC 2019 di Chile bulan depan berikutan pergolakan sosial yang berlaku di ibu kota, Santiago mengejutkan White House, selain menyumbang kepada halangan terhadap perjanjian perdagangan AS-Sino.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0675/0714 daripada 3.0672/0699 manakala naik berbanding yen kepada 3.8371/8418 daripada 3.8381/8419.

Unit tempatan merosot berbanding pound British kepada 5.3918/3987 daripada 5.3840/3895 dan susut berbanding euro kepada 4.6594/6656 daripada 4.6431/6473.

-- BERNAMA