Syarikat konglomerat Kumpulan Berjaya Corporation Berhad berhasrat untuk mengumpul dana sehingga RM5 juta bagi Tabung Harapan Malaysia.

Pengasasnya Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata usaha berkenaan akan dilakukan bersama-sama syarikat pengeluaran aksesori permainan video dan komputer peribadi terkemuka dunia Razer, melalui perkhidmatan e-Dompet Razer Pay.

“Bemula hari ini sehingga 30 Ogos nanti, kami komited untuk menderma RM10 bagi setiap transaksi pertama pengguna Razer Pay di toko-toko Berjaya.

“Ia memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 transaksi untuk mencapai derma RM5 juta ini dan saya yakin, usaha yang dipimpin Min Liang Tan (Pengasas Razer) akan berjaya.

“Saya beritahu Liang Tan mengenai Malaysia Baharu bahawa ia adalah yang terbaik untuk negara ini dan bakal menarik lebih ramai pelabur asing sepertinya,” kata Vincent semasa pelancaran perkhidmatan Razer Pay di Alila Bangsar hari ini.


Razer Pay merupakan aplikasi yang dibangunkan secara khas untuk golongan belia dan milenial bagi memudahkan urusan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai (cashless payment).

Melalui perkhidmatan ini, pengguna boleh menambah nilai, melakukan transaksi duit dan melakukan pembayaran dengan mudah di mana-mana sahaja.


Sementara itu, Tabung Harapan Malaysia mencatatkan kutipan derma sebanyak RM133,756,194.04 setakat jam 4.40 petang hari ini.

Tabung Harapan Malaysia dilancarkan 30 Mei lalu sebagai usaha rakyat untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang mencecah RM1 trilion.