Kementerian Kewangan mengumumkan pelantikan Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk tempoh tiga tahun.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta setelah menerima kelulusan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Raja Azmi memangku jawatan tersebut sejak enam bulan lepas selepas kontrak Datuk Badlisham Ghazali tamat.

Raja Azmi menyertai MAHB sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 1 Februari 2016.

“Pelantikan beliau adalah bertepatan dan seiring dengan keperluan syarikat pada masa ini yang mengalami peningkatan ketara dalam jumlah pengguna lapangan terbang di Malaysia.

“Pelantikan ini juga adalah selaras dengan aspirasi MAHB untuk menjadikan lapangan-lapangan terbang negara sebagai pilihan syarikat penerbangan dan pelancong di rantau ini dalam suasana persaingan yang tinggi.

“Dengan pelantikan ini, adalah diyakini bahawa beliau berupaya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan serta operasi MAHB dapat diteruskan dan dipertingkatkan,” kata Guan Eng.

Raja Azmi sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan seterusnya Pengarah Eksekutif UDA Holdings Berhad.

Beliau turut berpengalaman sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif di Zelan Berhad, Pengarah Kewangan Kumpulan UEM Group Berhad, dan Pengarah Eksekutif di Time Engineering Berhad.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Tronoh Consolidated Malaysia Berhad dan Pegawai Kewangan Kumpulan Sapura Telecommunications Berhad.