Cadangan syarikat Projek Amal Malaysia Airlines Bhd (MAB), perkhidmatan sewa khas jemaah haji dan umrah, akan menggunakan dana dalaman daripada Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) untuk membiayai operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Izham Ismail.

Beliau berkata operasi itu akan dibiayai sepenuhnya oleh MAG, syarikat induk MAB.

"Maklumat lanjut mengenai nama syarikat, logo dan pengurusan Projek Amal akan diumumkan pada suku keempat tahun ini atau selewat-lewatnya pada suku pertama 2019," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian antara MAB dan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd bagi penerbangan sewa khas untuk jemaah haji dan umrah, di sini hari ini.

MAB berkata terdapat minat daripada pelabur baharu yang ingin melabur dalam Projek Amal yang dijenamakan semula dan sebelum ini dikenali sebagai Project Hope di bawah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Peter Bellew.

MAB dan Andalusia hari ini menandatangani perjanjian untuk tempoh tiga tahun, yang akan menyaksikan Malaysia Airlines menyediakan sehingga 200 penerbangan sewa khas untuk jemaah haji dan umrah yang berdaftar dengan Andalusia ke Madinah dan Jeddah bermula tahun ini.

Dilaporkan sebelum ini syarikat penerbangan nasional itu menyasarkan 10 peratus bahagian pasaran membawa jemaah dengan penerbangan sewa khas ke Arab Saudi berbanding tujuh peratus pada masa ini.

Izham berkata dengan penubuhan Projek Amal, syarikat penerbangan baharu dijangka meninjau lebih banyak peluang bagi komuniti Islam dari Indonesia, selain China.

"Pemeteraian itu antara MAB dan Andalusia. Bagaimanapun, sebaik sahaja penubuhan Projek Amal itu selesai, perjanjian tersebut akan diserahkan haknya daripada Malaysia Airlines kepada Projek Amal.

"Bagaimanapun, saya ingin menjelaskan Projek Amal akan dianggap sebagai anak syarikat MAB, sama seperti yang lain di bawah syarikat kami," katanya.

Sementara itu, Pengarah Andalusia Ida Riswana Idris berkata perjanjian untuk tempoh tiga tahun itu melibatkan 237 penerbangan bernilai RM315 juta.

"Perjanjian itu dijangka membolehkan 114,000 penumpang ke Madinah atau Jeddah bermula tahun ini hingga 2021. Setakat ini, seramai 29,000 daripada 62,000 jemaah kami telah menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines.

"Tahun lepas, sebanyak 1.74 juta jemaah asing tiba di lapangan terbang Jeddah dan Madinah. Daripada jumlah itu, lebih 570,000 dari Indonesia, Pakistan dan India," katanya.

-- BERNAMA