Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Isnin mengumumkan bahawa mereka telah menerima peletakan jawatan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE), Jalil Rasheed.

PNB dalam satu kenyataan memaklumkan peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada hari sama.

“Lembaga Pengarah dan Pasukan Kepimpinan PNB menzahirkan penghargaan mereka kepada Jalil atas kepemimpinan dan sumbangannya semasa berkhidmat dengan PNB.

“PNB mendoakan Jalil berjaya dalam setiap yang dilakukannya pada masa depan,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Lembaga juga telah meluluskan pelantikan pengganti Jalil dan pengumuman akan dibuat setelah menerima kelulusan dan peraturan yang ditetapkan.

Peletakan jawatan Jalil sudah dihidu sejak Sabtu lepas ketika The Edge melaporkan bahawa Jalil yang berusia 38 tahun itu mungkin diganti kerana "masalah" tertentu mengenai pelantikannya dalam PNB.

Antara nama penggantinya yang disebut-sebut termasuk seperti pengarah eksekutif Khazanah Nasional Bhd, Ahmad Zulqarnain Onn dan presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Maybank, Abdul Farid Alias.