Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memulakan lawatan kerja sehari ke Melaka dengan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

Mesyuarat EAC yang bersidang setiap Isnin bagi menangani cabaran ekonomi negara yang tidak menentu susulan pandemik COVID-19 itu, julung kali dilakukan di luar ibu kota.

Persidangan itu diadakan di Hotel Hatten di Banda Hilir, yang turut dihadiri Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa Dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Terdahulu, Muhyiddin tiba sekitar jam 9.20 pagi sebelum persidangan berkenaan dimulakan sejam kemudian.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Melaka selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

Selepas mempengerusikan mesyuarat, Perdana Menteri dijadual meluangkan masa kira-kira satu jam melakukan ‘walkabout’ di Bazar Rakyat Pahlawan Walk.

Beliau selepas itu akan mengadakan lawatan ke kilang Infineon di Batu Berendam pada jam 3 petang.