Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) oleh Malaysia pada November 2020 akan meletakkan Malaysia di jajaran Wawasan 2020 sebagai sebuah negara perdagangan dan komoditi yang signifikan dan berpotensi meluaskan lagi kluster pengukuhan ekonomi sehingga merentasi sempadan.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sufian Jusoh berkata fokus dan buah fikiran yang tercetus dalam Simposium Bidang Keutamaan APEC 2020 di Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2020 bakal menentukan hala tuju dalam penganjuran APEC berteraskan sasaran Wawasan 2020.

“APEC 2020 adalah penting kerana buat kali kedua sejak 1998, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah dan selari dengan perspektif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyasarkan latar belakang Wawasan 2020,” kata Dr Sufian

Menurutnya, APEC 2020 juga merupakan titik penghujung kepada Matlamat Bogor (Bogor’s Goals) pada 1994 dalam merencanakan agenda ekonomi APEC buat masa hadapan.

“APEC 2020 akan menjadi landasan perancangan ekonomi terbuka kepada 21 angota ekonominya, dan tahun ini Malaysia bertanggungjawab merencanakan untuk ekonomi APEC,” tambahnya.

Beliau berkata demikian di Simposium Bidang Keutamaan APEC 2020 sempana Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini, hari ini.

Penyediaan pelan tindakan, menurut Dr Sufian terbahagi kepada tiga isu utama Kemakmuran Bersama (shared prosperity) dalam integrasi ekonomi serantau (regional economic integration) serta pengukuhan ekonomi serantau (dalam menangani perang perdagangan Amerika Syarikat – China).

BACA: #MyAPEC2020: Kelestarian inovasi 4IR teras ekonomi mampan

BACA: #MyAPEC2020: Bukan lagi soal kekayaan, tetapi kemakmuran inklusif

Pelan kedua akan memberi fokus kepada perkembangan inklusif (inclusive growth) yang akan membawa maksud perkembangan ekonomi Asia Pasifik akan dapat dinikmati bersama oleh 21 anggota ekonomi dengan memberi fokus kepada ekonomi digital serantau.


Kelestarian keselamatan makanan (food security) turut menjadi pelan rundingan seterusnya dengan menfokus kepada penggunaan teknologi (waste-to-wealth), kata Dr Sufian.

Simposium kali ini menyaksikan delegasi tempatan antarabangsa dari 21 anggota ekonomi termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Chile, China, Indonesia, Kanada dan Vietnam.


APEC yang dianggotai 21 anggota ekonomi, adalah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat dalam kalangan negara Asia Pasifik. Ia sejajar unsur teras dan matlamat penganjuran APEC 2020 iaitu ‘Perkongsian Kemakmuran’ (Shared Prosperity), ‘Hospitaliti Malaysia’ (Malaysian Hospitality) dan ‘Malaysia Boleh’.

"Pada tahun ini 2020, kita akan merencanakan perancangan untuk negara APEC selepas 2020. Jadi kemungkinan kita akan menyediakan pelan tindakan dan perancangan masa depan mungkin sehingga 2030 atau 2040," tambahnya.