Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) masih mengkaji isu berkenaan penjualan pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad memaklumkan, belum ada keputusan berhubung perkara itu dan kerajaan akan memastikan punca mengapa situasi itu berlaku.

"Apa yang tidak digunakan, memang kita akan jual untuk mengumpul dana membayar hutang. Kita perlu ingat kerajaan sebelumnya meminjam lebih daripada 1 trilion dolar yang merupakan beban bagi kita, kerana mereka meminjam dan wang itu tidak dilaburkan.

"Jika wang itu dilaburkan, kita boleh pergi ke syarikat itu dan mendapatkan kembali wang itu tetapi kita tidak tahu di mana wang itu. Sekarang kita perlu bayar hutang melalui kutipan cukai kita atau menjual aset.

"Itu beban yang ditinggalkan oleh Najib. Sekarang dia bercakap banyak tapi semua perkara itu dilakukan olehnya termasuk membeli kapal-kapal dari China. Beliau kata ia bodoh, beliau kata pada diri sendirilah kerana beliau yang membeli, bukan saya," kata beliau.

Laporan sebuah akhbar sebelum ini menyebut Khazanah kini dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam MAHB kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

Perdana Menteri ditemui selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam, pada Jumaat.

Piagam yang dihasilkan daripada resolusi yang dibentangkan pada Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya 2017, diharap dapat membantu rakyat dan kerajaan dalam menyemarakkan program melibatkan warisan dan budaya serta memberi kesedaran kepada masyarakat ke arah budaya tinggi sebagai asas ketamadunan.