Keputusan untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dicapai secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua negara projek tersebut akan diteruskan pada 2020, justeru tidak timbul isu ketegangan hubungan dua hala.

Katanya, beliau faham akan kebimbangan yang diutarakan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, jika tiada persetujuan dicapai berhubung isu tersebut.

"Tapi sekarang kita sudah putuskan secara baik. Kita tunggu untuk meneruskan projek ini pada 2020 dan itu yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Sebuah media republik itu hari ini menyiarkan laporan menyatakan Lee mengakui tindakan Putrajaya mahu membatalkan projek HSR berpotensi menjadi isu namun persetujuan bersama dicapai untuk menangguhkannya selama dua tahun.

Lee berkata keputusan itu adalah penyelesaian konstruktif terhadap suatu isu yang boleh menimbulkan ketegangan.