Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah membuka tender bagi reka bentuk serta pembinaan terowong dan kemudahan berkaitan di bahagian negara itu bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, lapor akhbar The Straits Times, pada Isnin.

Menurut edisi dalam talian akhbar itu, pembinaan tersebut dijangka bermula pada tahun depan.

"Kami membuka tender bagi reka bentuk dan pembinaan terowong berkembar dan kemudahan berkaitan pada 6 April manakala reka bentuk dan pembinaan terowong tertutup menuju terminal Jurong East pada 11 April," kata laporan media itu yang memetik seorang jurucakap LTA.

Menurut laporan itu, terowong berkenaan akan dibina menggunakan mesin khas pengorek terowong iaitu kaedah sesuai bagi usaha mengorek bawah tanah yang kurang menjejaskan kemudahan, bangunan dan struktur di bahagian permukaan.

Secara perbandingannya, terowong termasuk jenis tertutup itu dibina dengan menggunakan struktur sedia ada manakala kerja-kerja pengorekan dijalankan secara berperingkat dan lebih sesuai untuk jarak dekat dan di kawasan terbuka dengan tidak banyak kemudahan, bangunan dan struktur di permukaannya.

Terowong tertutup juga lebih sesuai bagi struktur bawah tanah lebih besar seperti terowong menuju terminal Jurong East, kata laporan tersebut.

Menurut LTA, baki tender sivil lainnya akan dibuka pada bulan-bulan akan datang dan pembinaannya dijangka bermula pada tahun depan.

"Rancangan untuk memulakan perkhidmatan ekspres Kuala Lumpur-Singapura menjelang 2026 adalah mengikut jadual," kata jurucakap itu.

Laluan HSR Kuala Lumpur-Singapura sejauh 350kilometer itu dijangka dapat mengurangkan tempoh perjalanan antara dua destinasi itu kepada 90 minit. -- Bernama