Pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan menyebabkan kerugian sebanyak RM45 bilion kepada pendapatan negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, ia antara kerugian pendapatan negara selain pemansuhan tol, pinjaman perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais.

Jelasnya, kerajaan akan menangggung kehilangan berjumlah RM416.6 bilion sekiranya pemansuhan diadakan kepada semua sektor berkenaan.

"Kita telah buat kajian bertahun-tahun, 160 negara di dunia ini juga telah laksanakan GST dan pelbagai peratusan dikenakan tetapi di Malaysia kita ambil enam peratus, lebih munasabah dan tidak membebankan rakyat.

"Lebih 500 barangan asas seperti beras, gula, sayuran tidak dikenakan GST. Jadi GST di Malaysia ini lain dari GST di negara lain," katanya dalam satu temubual khas di sini hari ini.

BACA: Perdana Menteri minta rakyat terus yakin dengan kerajaan

BACA:
Jangan percaya tohmahan kerajaan nak naikkan kadar GST - PM Najib

Sebelum ini, penganalisis ekonomi, Prof Dr Wan Mansor Wan Mahmood menjelaskan, hasrat pakatan pembangkang memansuhkan GST dengan melaksanakan semula cukai jualan akan menyebabkan kehilangan pendapatan kerajaan sehingga RM15 bilion setahun.

Wan Mansor yang juga juga Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, kehilangan hasil kerajaan daripada sumber petroleum akibat kejatuhan harga minyak kini ditampung menerusi kutipan GST.

GST yang telah diperkenalkan sejak 1 April 2015 pada kadar enam peratus telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi dengan menyumbang RM41.2 bilion pada tahun 2016 dan menyasarkan RM42 bilion tahun lalu.

Cukai itu juga bertindak sebagai platform bagi menstabilkan keperluan penduduk serta merencana kepentingan masa depan negara.

Negara-negara termasuk United Kingdom (UK), Jepun, India, Perancis, Korea Selatan dan Indonesia turut mempunyai GST atau cukai seumpamanya dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT).