Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dijangka melihat pertumbuhan dua hingga tiga peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan jualan RM1.1 bilion.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, ini dijangka dicapai melalui penyertaan 260 syarikat halal Malaysia dan 283 syarikat halal antarabangsa di pameran tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini MIHAS telah menjana pendapatan melebihi RM11 bilion melalui pameran dan program berkaitan perniagaan dalam jangka masa 12 tahun.

MIHAS akan diadakan dari 28 Mac hingga 2 April 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena Minggu Halal Sedunia (WHW) 2016.

Sementara itu, Mustapa turut membentangkan prestasi keseluruhan industri halal Malaysia.

Beliau berkata pendapatan eksport halal 2014 iaitu RM38 bilion melepasi sasaran 2020 (RM19 bilion) dan beliau yakin mencapai sasaran 2015 iaitu RM42 bilion.

Tambahnya, 218,000 peluang pekerjaan juga disediakan melalui industri halal pada tahun 2015, peningkatan sebanyak 5.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Industri halal dijangka menyediakan 300,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Selain itu, 800 syarikat Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) yang mempunyai sjil halal sudah pun menerokai sektor eksport pada 2015, peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding 2014.

Menjelang 2020, 1,600 syarikat PKS bersijil halal dijangka menerokai sektor eksport.

Mustapa berkata syarikat Malaysia bersijil halal melihat peningkatan dua kali ganda dalam masa lima tahun, dengan 5,726 pada 2015.

Daripada jumlah ini, 68 peratus syarikat bersijil halal dimiliki masyarakat bukan Bumiputera dan 32 peratus syarikat bersijil halal dimiliki masyarakat bumiputera.

Menteri itu turut menyatakan Malaysia akan mengembangkan pasaran halal ke negara yang terlibat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terutamanya Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada.

Ini berikutan peningkatan masyarakat beragama Islam di negara-negara tersebut.

Mustapa berkata, berbanding negara lain, Malaysia mempunyai ekosistem yang sesuai serta kepelbagaian dalam industri halal yang menjadikan Malaysia pemain utama.

Selain MIHAS yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Persidangan Halal Dunia (WHC) anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Konvensyen Perbadanan Bersijil Halal Antarabangsa Jakim ke-7 turut akan diadakan sempena WHW.