Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) meluluskan pelaburan bernilai RM207.9 bilion melibatkan 4,972 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama pada 2016.

Angka ini merupakan peningkatan 7.7 peratus berbanding nilai pelaburan RM193 bilion yang diluluskan pada 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia terus mengekalkan momentum pertumbuhan pelaburannya walaupun ekonomi dunia suram, yang menyebabkan pemintaan aggregat yang lemah, pasaran kewangan antarabangsa dan tidak menentu, harga komoditi yang rendah, dasar ekonomi yang tidak pasti dan saingan sengit di peringkat serantau.

"Malaysia kini lebih selektif dalam agenda pelaburannya, memilih projek berkualiti dalam ekosistem sasaran yang memberi kesan ketara dalam ekonomi domestik secara menyeluruh," katanya semasa mengumumkan prestasi pelaburan 2016 Malaysia di sini hari ini.

Daripada jumlah pelaburan itu, 71.6 peratus atau RM148.9 bilion disumbangkan oleh pelabur domestik, dengan baki 28.4 peratus atau RM59.0 bilion daripada pelaburan langsung asing (FDI).

Mustapa berkata pelabur asing terus memanfaatkan ekosistem Malaysia yang unik dan sinergi serantaunya, yang mencatat 63.4 peratus FDI lebih tinggi tahun ke tahun berbanding RM36.1 bilion yang diperoleh pada 2015.

Beliau bekata sumber utama FDI tahun lepas ialah dari Amerika Syarikat (US), Belanda, China, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom.

Mereka menyumbang 55.8 peratus daripada jumlah FDI yang diperoleh pada 2016.

FDI dari negara ASEAN bagimanapun susut 27 peratus kepada RM7.8 bilion berbanding RM10.8 bilion pada 2015.

Dalam sektor pembuatan, 733 projek dengan pelaburan RM58.5 bilion diluluskan tahun lepas berbanding 680, dengan pelaburan RM74.7 bilion pada 2015.

Pelaburan dalam sektor perkhidmatan meningkat 23.3 peratus kepada RM141.2 bilion pada 2016, melibatkan 4,199 projek dengan sebahagian besarnya dalam subsektor hartanah, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan telekomunikasi, serta perkhidmatan sokongan.

Bagi 2017, Mustapa berkata walaupun menghadapi cabaran serta ketidaktentuan global, momentum pertumbuhan dalam pelaburan akan berterusan dan meningkat tahun ini, dengan penjajaran dasar dilakukan bagi menangani persepsi salah dalam kalangan pelabur.

Beliau berkata pelaburan kira-kira RM35.3 bilion sedang dirancang sehingga Februari, membabitkan RM18.8 bilion dalam sektor pembuatan dan RM16.5 bilion dalam perkhidmatan (tidak termasuk hartanah) dengan kebanyakan sumber FDI dari Belanda, Jepun, Singapura, Switzerland dan US.

-- BERNAMA