SETIAP negara yang semakin maju akan mengalami proses deindustrilisasi.

Malaysia juga tidak ketinggalan, tegas Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Intitute (KRI), Allen Ng.

Namun, tidak seperti negara maju lain yang menyaksikan tenaga kerjanya dapat diserap terus ke sektor perkhidmatan bernilai tinggi, golongan pekerja Malaysia masih berada di sektor pertanian, pembuatan dan lain-lain industri separuh mahir.

“Negara yang semakin maju akan menyaksikan proses deindustrilisasi, jadi banyak pekerjaan dalam bidang pembuatan akan diganti dengan jenis pekerjaan yang lebih moden yang berkemahiran tinggi,” kata Ng.

Di Malaysia, 70 peratus daripada warga kerja di negara ini masih 'terperangkap' dalam sektor pekerjaan berkemahiran rendah.

Kajian Khazanah Research Institute bertajuk 'Ketidaksamarataan dan Pembahagian Pendapatan Malaysia' mendedahkan antara tahun 2010 hingga 2014, sektor perkhidmatan moden hanya menyumbang 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara maju lain sekitar 20 hingga 25 peratus.

Ng turut menjelaskan apa langkah terbaik yang patut diambil oleh negara ini bagi menghadapi proses deindustrilisasi, tanpa menjejaskan produktiviti.

“Penyelesaian utama yang harus dilaksanakan kerajaan ialah antaranya melalui pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat, Ketika ini, 70 peratus pekerja Malaysia adalah mereka yang berpendidikan sekolah menengah dan ke bawah.

Bagi mewujudkan rakyat Malaysia ‘kalis masa”, usaha berterusan harus dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehan pekerja seterusnya mewujudkan jenis pekerjaan baharu, tambah Ng.