Malaysia dan Luxembourg bersetuju untuk menubuhkan majlis perniagaan bersama bagi memperkukuhkan dan mengalakkan kerjasama luas dalam banyak bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, kewangan dan perbankan Islam.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata, persetujuan itu dicapai ketika lawatan kerja Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Luxembourg pada Jumaat semasa beliau membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Hal Ehwal Luar dan Eropah Luxembourg, Jean Asselborn.

Wisma Putra berkata, kedua-duanya berkongsi dan bertukar pandangan berhubung perkara yang menjadi kepentingan bersama semasa kunjungan hormat itu berlangsung, termasuk mengenai Perjanjian Kerjasama Perkongsian Malaysia-EU (Kesatuan Eropah), Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU, serta kemungkinan kerjasama dalam kewangan hijau.

"Menerusi Kewangan Hijau Luxembourg, Asselborn berminat untuk membantu Malaysia dari segi perkongsian pengetahuan berkaitan pembangunan lestari, serta menyediakan platform untuk mempromosi minyak sawit lestari.

"Sekumpulan ketua pegawai eksekutif diterajui Persatuan Industri Dana Luxembourg (ALFI) akan membuat lawatan kerja ke Malaysia bagi tujuan tersebut pada 3 hingga 4 Jan, 2018," menurut Wisma Putra.

Kementerian itu berkata, semasa mesyuarat dua hala, Anifah turut menyampaikan penghargaan Malaysia atas sokongan Luxembourg terhadap kejayaan Malaysia membentangkan resolusi kesederhanaan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-72.

"Menteri Luar (Anifah) juga berterima kasih kepada Luxembourg kerana menyokong calon Malaysia dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa Antarabangsa bagi penggal 2018-2019," menurut Wisma Putra.

Mengenai situasi serantau, Wisma Putra berkata, kedua-dua menteri turut berkongsi kebimbangan yang sama berhubung keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan selain menyedari situasi kesukaran di Rakhine.

Anifah menegaskan kebimbangan kerajaan Malaysia terhadap keputusan AS tersebut memandangkan ia telah membangkitkan sentimen umat Islam selain tidak menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan wilayah itu, menurut Wisma Putra.

Berkaitan situasi di Rakhine, Wisma Putra berkata kedua-dua menteri menggesa Myanmar melaksanakan syor jawatankuasa penasihat Kofi Annan dengan segera dalam menangani punca penyebab dan situasi kemanusiaan mendesak bagi Rohingya.

"Menteri Luar (Anifah) juga menjelaskan peranan Malaysia dalam menangani punca penyebab situasi kemanusiaan Rohingya kepada Asselborn, serta penyediaan bantuan kemanusiaan, secara dua hala dan di forum antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam.

"Kedua-dua menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau seperti kerjasama berterusan antara ASEAN dan EU dalam bidang kepentingan bersama, perkembangan rundingan Brexit, situasi di semenanjung Korea, pelarian dan migrasi," menurut Wisma Putra.

Lawatan kerja itu telah meningkatkan pemahaman dan penghargaan terhadap kedudukan dan perspektif antara satu sama lain mengenai pelbagai perkara, serta memberikan dorongan kepada hubungan dua hala Malaysia-Luxembourg, memandangkan 2017 menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik itu.

-- BERNAMA