Malaysia berusaha keras untuk melindungi kebajikan lebih 650,000 pekebun kecilnya di kawasan luar bandar yang akan terjejas disebabkan sekatan ke atas minyak sawit.

"Anda tidak boleh melakukan diskriminasi terhadap golongan miskin di Malaysia, begitu juga kepada negara jiran kami, Indonesia," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika ditemui pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-24 dan Mesyuarat Berkaitan di sini.

Mustapa berkata Malaysia mendesak Kesatuan Eropah (EU) untuk tidak mengenakan sekatan itu dan beliau akan membangkitkan isu tersebut apabila menemui Pesuruhjaya Perdagangan EU Cecilia Malmstroem di luar mesyuarat tersebut.

Bernama difahamkan pertemuan antara Mustapa dan Malmstroem, yang kini mengetuai delegasi EU ke mesyuarat selama dua hari itu, telah diadakan pada lewat petang Khamis.

Parlimen Eropah telah mengundi dengan memihak kepada draf undang-undang mengenai tenaga boleh baharu yang mencadangkan penggunaan minyak sawit dalam biofuel dilarang mulai 2021.

EU memberikan alasan komoditi yang digunakan secara meluas itu akan menjejaskan hasrat Eropah untuk melestarikan sektor pengangkutannya jika digunakan sebagai biodiesel.

Sebagai pengeksport minyak sawit utama dunia, Malaysia dan Indonesia akan terjejas dengan langkah tersebut.

"Ini adalah perkara yang amat penting kepada kami. Sudah tentu, saya akan membangkitkan perkara tersebut pada setiap peluang yang ada dengan wakil-wakil EU," kata Mustapa ketika ditanya Bernama sama ada beliau akan menggunakan mesyuarat tersebut sebagai platform untuk membangkitkan isu itu.

"Undi Parlimen EU belum terikat. Kami telah berkomunikasi dan mereka telah memberi jaminan bahawa ia belum muktamad.

"Saya telah menemui rakan sejawat saya dari Indonesia yang bertanggungjawab ke atas minyak sawit dan kami bersetuju bahawa kami akan meneruskan perkara ini bersama-sama secara berterusan demi kebajikan pekebun kecil kita," katanya.

EU adalah pasaran eksport minyak sawit kedua terbesar bagi Malaysia dan Indonesia.

-- BERNAMA