Malaysia mula mengimport daging wagyu dari Jepun pada tahun lepas selepas dua kilang pemprosesannya mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertanian dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata import daging lembu tahun lepas bernilai kira-kira RM2 juta.

"Ia memenuhi keperluan kumpulan sasaran dalam julat premium super. Kita mengimport banyak daging tetapi dalam kumpulan pelbagai daging lembu, daging Wagyu adalah seperti berlian," katanya pada Seminar Daging Wagyu Jepun dan Pertukaran Maklumat, anjuran Majlis Promosi Eksport Produk Ternakan Jepun, di sini pada Khamis.

Beliau berkata daging itu berharga RM2,000 sekilogram dan ke atas bergantung kepada gred.

Ahmad Shabery berkata Malaysia berharap Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik akan meningkatkan perdagangan antara Jepun dan Malaysia, terutamanya dalam memperluaskan kepelbagaian produk pertanian untuk dieksport ke Jepun.

"Pada masa ini, manggis, nanas dan daging itik dieksport ke Jepun. Kami berharap dapat mengeksport durian ke Jepun," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Promosi Eksport Wagyu Jepun, Tsuyoshi Hishinuma berkata tiada perbezaan dari segi kualiti daging Wagyu halal dan bukan halal.

"Bertentangan dengan persepsi, baka Wagyu tidak diberi bir," kata Hishinuma pada taklimat.

-- BERNAMA