Malaysia akan mengalami defisit belanjawan yang ketara jika kerajaan tidak mengambil langkah melaksanakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata seorang pakar GST.

Senthuran Elalingam, Pemimpin Pasaran dan Pelanggan Cukai Tidak Langsung Asia Pasifik bagi Deloitte dan Pengarah GST di Deloitte Malaysia, berkata ini jelas kerana Malaysia bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan komoditi yang mengalami penurunan harga mendadak lebih 50 peratus daripada paras US$100 setong pada 2014.

"Ia (GST) adalah satu langkah perlu dan penting memandangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini tidak efisien dan kutipan cukai lemah," katanya kepada Bernama.

Dalam pengumuman Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jika SST dikekalkan, kutipan hanya RM18 bilion berbanding hasil GST sebanyak RM39 bilion.

Perdana Menteri berkata defisit fiskal akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan sasaran 3.1 peratus pada 2016.

Senthuran berkata memandangkan perniagaan telah semakin biasa dan mematuhi GST, akan menjadi lebih mudah bagi mereka menjalankan perniagaan tanpa gangguan.

"GST masih agak baru dan semua orang masih belajar mengenainya, tetapi kami melihat interaksi positif dengan Jabatan Kastam kerana mereka menjadi lebih toleran dengan perniagaan yang cuba untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau menjangka perniagaan mungkin akan mengambil masa enam bulan lagi untuk menyelaras sepenuhnya kepada GST dengan pengecualian kepada farmaseutikal, pembangunan hartanah dan industri insurans termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan perniagaan masih menghadapi beberapa komplikasi.

Senthuran juga positif terhadap pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan mengenakan GST ke atas beberapa barangan keperluan termasuk ubat-ubatan dan makanan, dengan menyatakan bahawa hasratnya ialah untuk meminimumkan kesan ke atas isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah.

"Saya menjangka lebih banyak pihak boleh meminta barang berkadar sifar tetapi kerajaan perlu bersikap memilih dan menumpukan kepada siapa yang mereka mahu mendapat manfaat dan memberikan bantuan," kata beliau.

Turut bersetuju dengan pandangan itu ialah Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang, yang menyokong pelepasan GST ke atas pengimportan semula barang yang dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran.

"Kami berharap kerajaan akan menggalakkan lebih banyak transaksi perniagaan bagi merangsang ekonomi dan membantu PKS menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan menarik lebih banyak pelancong asing ke negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Kang berkata langkah untuk menaikkan lingkungan pendapatan boleh cukai daripada 25 peratus kepada 26 peratus bagi mereka yang mempunyai pendapatan antara RM600,000 dan RM1 juta, dan mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta kepada 28 peratus daripada 25 peratus, boleh menjejas tabiat perbelanjaan mereka.

"Oleh kerana GST berdasarkan kepada penggunaan, ini mungkin mengurangkan aliran tunai ke dalam pasaran, kerana mereka akan berhati-hati dalam perbelanjaan, sekali gus mengurangkan kutipan GST dan hasil kerajaan," kata Kang.

Di samping itu, beliau juga berharap kerajaan akan terus menyediakan bantuan perkakasan dan perisian untuk PKS, melanjutkan lagi tempoh pembelajaran dan penyerahan pemfailan GST.