Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini melancarkan platform e-dagang khas untuk peruncit di lapangan terbang dikenali sebagai ‘shopMYairport’.

Platform tersebut memberi peluang kepada peruncit terbabit untuk mengembangkan pasaran mereka, sekali gus membantu memulihkan semula perniagaan akibat impak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus jualan di lapangan terbang dibuat melalui shopMYairports dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Platform e-dagang dilihat sebagai inisiatif yang lebih lestari dalam memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada rakan niaga kerana mereka menghadapi cabaran susulan COVID-19.

“Ini antara program bantuan lain yang disediakan oleh Malaysia Airports untuk membantu para peruncit (di lapangan terbang).

“Sebelum ini (MAHB) telah menangguhkan pembayaran sewa, melanjutkan tempoh kredit sehingga 120 hari, melanjutkan tempoh kontrak yang baharu ditandatangani dan mengatur penjualan di seluruh lapangan terbang untuk membantu melicinkan inventori,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian shopMYairport di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Isnin.

Turut hadir merasmikan program tersebut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Melalui platform shopMYairport, orang ramai boleh melayari pelbagai jenis produk yang ditawarkan termasuk kecantikan, kosmetik, fesyen, peralatan elektronik serta makanan dan minuman.

Pada fasa pertama, platform tersebut memberi fokus kepada pelancong domestik dan tempatan serta pembeli di rumah.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya RM2.8 bilion jualan direkodkan di lapangan terbang di seluruh negara sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 pada 18 Mac lalu.