Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel yang dikendalikan Rapid Rail Sdn Bhd hari ini menerima pensijilan ISO terkini daripada SIRIM QAS International, sekali gus mengesahkan kualiti perkhidmatan rel urban negara itu berkelas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zohari Sulaiman berkata, pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 itu menggantikan sijil ISO9001:2008, yang dimiliki Rapid Rail sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata pengiktirafan daripada badan akreditasi itu mengukuhkan lagi status Rapid Rail dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai penyedia perkhidmatan berkelas dunia berdasarkan pelbagai anugerah antarabangsa yang pernah diterima sepanjang beroperasi.

"Kami di Rapid Rail sentiasa meningkatkan dan memantapkan sistem pengurusan, tahap kemahiran dan kualiti dalam apa jua kami lakukan bagi memastikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami. Syarat-syarat untuk sijil baharu ISO9001:2015 adalah jauh lebih ketat, tetapi kami tetap gigih berusaha mencapai piawaian yang diperlukan.

"Bagi saya, pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini amat bermakna kerana keistimewaan badan ini sendiri. Bukan saja ia adalah badan akreditasi nasional yang diiktiraf Jabatan Standard Malaysia, tetapi juga oleh United Kingdom Accreditation Service (UKAS), iaitu badan akreditasi antarabangsa," kata Zohari dalam satu kenyataan.

UKAS adalah badan akreditasi yang menilai kewibawaan organisasi yang memberikan perakuan dan pengiktiraf untuk persijilan, ujian, pemeriksaan dan perkhidmatan kalibrasi yang beribu pejabat di Britain.

Pensijilan yang dikeluarkan SIRIM QAS International diiktiraf di 37 negara yang berpayung bawah International Certification Network (IQNet) dan berpengkalan di Switzerland. -- Bernama