"Terminal KLIA2 bukan terminal lapangan terbang kos rendah".

Itu kenyataan yang diberikan Ketua Pegawai Strategi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Azli Mohamed.

Menurut Azli, walaupun banyak operator di KLIA2 merupakan syarikat penerbangan tambang murah, ini tidak menjadikkan KLIA2 sebuah terminal kos rendah.

"Pendirian kami jelas, KLIA2 dan KLIA adalah terminal utama lapangan terbang di Kuala Lumpur," kata Azli.

Azli berkata demikian dalam temu bual eksklusif rancangan AWANI Review di Astro AWANI.

Tambah Azli, "KLIA2 merupakan sebuah bangunan lanjutan kepada terminal utama, iaitu KLIA. Kedua-dua terminal ini menggunakan kod penerbangan yang sama -KUL- membuktikan lagi yang KLIA2 dan KLIA terminal utama adalah satu entiti yang sama."

MAHB telah menerima kritikan daripada orang awam sepanjang tahun 2017. Kritikan yang dibuat terdiri daripada isu-isu remeh seperti bunting "Mary Christmas", hingga ke isu-isu yang lebih berat seperti isu kerosakan Aerotrain yang kerap berlaku.

Sila tonton temu ramah penuh MAHB di rancangan AWANI Review, pada 8 Januari 2018, jam 11 malam. Hanya di saluran 501 di Astro AWANI.