Khazanah Nasional Bhd pada Isnin mengumumkan pelantikan dua timbalan pengarah urusan, iaitu Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz, berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Dana pelaburan itu berkata, Tan Sri Md Nor Yusof dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Eksekutif (EXCO), berkuat kuasa 5 Disember 2017.

"Penyelarasan beberapa fungsi pengawasan modal insan EXCO dan Jawatankuasa Lembaga untuk Pengurusan Penggantian juga menyaksikan pembentukan Jawatankuasa Pencalonan dan Jawatankuasa Ganjaran yang akan dipengerusikan Tan Sri Md Nor Yusof, berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat lembaga ke-85 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat itu adalah sebahagian daripada pemukiman lembaga Khazanah pada akhir tahun, yang melibatkan 12 anggota lembaga dan pasukan kepemimpinan kanan Khazanah yang diketuai Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar.

Menjelaskan mengenai pelantikan dua timbalan pengarah urusan, ia berkata, Ahmad, 45, ketika ini adalah Pengarah Eksekutif, Pelaburan, dengan mengurus pelaburan Khazanah di Indonesia, ASEAN dan sektor kumpulan institusi kewangan. Beliau juga merupakan Ketua Unit Pengurusan Strategik.

Azmil Zahruddin, 45, merupakan Pengarah Eksekutif, Pelaburan dengan pengawasan pelaburan Khazanah dalam sektor inovasi dan teknologi, sains hayat, dan Afrika, serta pengawasan pejabat Khazanah di San Francisco dan Koridor Utara Khazanah di Pulau Pinang.

Sementara itu, Tan Sri Andrew Sheng, yang telah menjadi ahli lembaga Khazanah sejak Julai 2008, telah dilantik sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, berkuat kuasa 29 November 2017 dan Yeo Kar Peng dilantik ke lembaga Khazanah berkuat kuasa 5 Disember 2017.

Ketika ini Yeo adalah Pengerusi/Rakan Kongsi Pengurusan Kendall Court Capital Partners dan seorang daripada pengasasnya. Beliau juga anggota Lembaga Cenviro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah.

Kenyataan itu juga berkata, mesyuarat lembaga tersebut telah menilai prestasi Khazanah pada masa lalu, serta strategi dan bajet untuk 2018 dan selepasnya.

-- BERNAMA